Thursday 14 August 2014

Semanis Kasihmu (Episod 1)

MAJLIS kenduri arwah di rumah itu sudah pun selesai. Kelihatan orang ramai beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing. Kini, sudah genap seminggu Safiyya kehilangan ibu bapanya. Orang tua Safiyya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Kereta yang dipandu oleh ayah Safiyya cuba mengelak sebuah lori petrol yang tidak dapat dikawal sehinggalah kenderaan mereka terhumban ke dalam gaung. Pihak polis telah menjejaki mayat mereka di kawasan berdekatan tempat kejadian. Mayat mereka berdua berjaya ditemui oleh pihak polis yang bertugas pada hari ketujuh pencarian.

Semenjak kejadian itu, Rozie dan Razlanlah yang menemani Safiyya di rumah itu. Rozie dan Razlan merupakan kawan baik kepada orang tua Safiyya. Safiyya tidak begitu rapat dengan mereka. Tetapi ibu dan ayahnya pernah mengatakan bahawa mereka mempunyai sahabat baik yang tinggal di bandar. Rasanya, Safiyya pernah bertemu dengan mereka sewaktu dia kecil tetapi, ingatan itu kabur. Razlan dan Rozie merasakan bahawa Safiyya masih memerlukan mereka pada waktu itu. Namun begitu, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka di bandar. Beberapa hari sahaja lagi musim persekolahan akan bermula. Tetapi, mereka juga tidak mungkin meninggalkan Safiyya sendirian di rumah itu. Safiyya pasti memerlukan bantuan orang dewasa untuk menguruskan hal kemasukan ke sekolahnya. Lebih-lebih lagi pada tahun itu Safiyya akan menduduki peperiksaan yang besar.

           “Safiyya, tak lama lagi sekolah akan dibuka. Safiyya dah nak naik sekolah. Safiyya perlukan bantuan orang lain untuk uruskan sekolah Safiyya. Tapi…” Rozie mati kata untuk meluahkan bahawa dia dan suaminya tidak dapat tinggal di situ untuk masa yang lebih panjang lagi. Ketika itu, mereka bertiga berkumpul di ruang tamu setelah majlis kenduri arwah selesai dijalankan.


            “Tetapi aunty Zie terpaksa balik bandar kan… Takkanlah aunty Zie dengan uncle Lan nak terus tinggal di sini untuk temankan Fiya kan…” Safiyya sememangnya seorang yang tabah dan sabar. Dia juga tahu menghargai pengorbanan orang lain dan faham akan keadaan mereka. Sebenarnya, Safiyya tidak mahu membebankan mereka berdua. Tetapi mereka tetap menghulurkan bantuan kepadanya.

            “Betul itu Fiya. Aunty Zie harap sangat Fiya dapat fahami keadaan kami ya. Kami benar-benar tidak dapat tinggalkan kerja-kerja kami di bandar,” sambung Rozie.

            “Aunty Zie dan uncle Lan janganlah risaukan Fiya. Fiya boleh jaga diri sendiri. Fiya faham keadaan uncle dan aunty. Uncle dan aunty tinggal di sini untuk beberapa hari ini pun Fiya sudah bersyukur sangat-sangat. Berkenaan sekolah Fiya, janganlah uncle dan aunty bimbang. Nanti Fiya boleh minta tolong pak cik Fiya uruskan,” terang Safiyya. Safiyya berasa amat beruntung sekali kerana dipertemukan dengan pasangan yang baik hati ini. 

            Mereka sanggup datang jauh-jauh dari bandar besar ke mari untuk menemaninya. Sebenarnya, Safiyya tidak begitu rapat dengan ahli keluarga ibunya. Rumah yang ditempatinya kini adalah rumah ibu kepada bapanya. Oleh itu, sanak saudaranya dari sebelah bapanya sering berkunjung ke rumah itu. Saudara mara dari sebelah ibunya pula, jarang sekali baru boleh berjumpa. Walaupun pada hari raya, sukar untuk mereka bersua muka memohon kemaafan. Katanya, ibunya mempunyai seorang kakak. Tetapi, Safiyya tidak pernah bertemu dengan mak ciknya itu.

Berada bersama-sama Rozie dan Razlan membuatkan Safiyya berasa seperti berada di dalam keluarga sendiri. Mereka berdua seperti dekat sekali dengannya. Lebih-lebih lagi Razlan. Lelaki itu seringkali mengambil berat akan dirinya. Seperti ada jalinan kasih antara mereka. Namun, Safiyya tidak mahu membebani fikirannya dengan andaian yang bukan-bukan. Ibu bapanya baru sahaja pergi. Tidak mungkin secepat itu dia dapat melupakan mereka.

            “Hanya ada satu jalan keluar bagi permasalahan ini,” ucap Razlan memecahkan kesunyian antara mereka. Kata-kata Razlan itu menyedarkan Safiyya dari lamunan panjangnya.

“Apa itu bang…?” tanya isterinya. Rozie agak berminat akan pandangan yang bakal diutarakan oleh suaminya itu.

“Abang dah fikir masak-masak akan perkara ini. Fiya boleh jadi anak angkat kita. Lagipun, dulu arwah Razlan pernah cakap dengan abang, kalau apa-apa terjadi pada dia dan isterinya, dia minta tolong kita tengok-tengokkan Fiya. Itu pun kalau awak dan Fiya setujulah,” kata Razlan sambil mengangkat bahunya. Dia berharap sekali Safiyya sudi menjadi anak angkatnya. Dia amat menyayangi anak itu.

“Saya setuju sangat itu bang. Macam mana dengan kamu Fiya?” tanya Rozie kepada Safiyya. Dia begitu teruja untuk menjadikan Safiyya anak angkat mereka berdua. Safiyya hanya menundukkan kepalanya. Dia tidak tahu ingin memberikan jawapan apa. Memang benar dia berasa selesa dengan mereka berdua. Tetapi berat rasanya untuk dirinya meninggalkan rumah pusaka itu. Di situ tertanam banyak kenangan pahit manisnya bersama arwah ibu bapanya. Kenangan terindah yang tak dapat dilupakannya.

“Fiya jangan terburu-buru dalam buat keputusan. Uncle beri Fiya masa untuk fikirkannya. Fiya fikir masak-masak dahulu baru buat keputusan. Pastikan Fiya tak menyesal dengan keputusan yang akan Fiya ambil nanti,” Safiyya hanya menganggukkan kepalanya apabila mendengar kata-kata kawan bapanya itu. Setelah itu, Safiyya meminta diri dan berlalu ke dalam bilik tidurnya.

Pada malam itu, Safiyya memikirkan tawaran Rozie dan Razlan. Dia tidak ingin menghampakan Rozie dan Razlan. Rozie dan Razlan sudah banyak membantunya. Lebih-lebih lagi Razlan mempunyai nama yang serupa dengan nama arwah bapanya, Razlan. Dia begitu mengambil berat terhadap dirinya. Tetapi, dia juga enggan meninggalkan rumah yang menyimpan banyak kenangan itu. Jikalau dia pergi, siapa yang bakal mengambil alih rumah itu? Tetapi adik-beradik ayahnya ramai. Pasti ada yang sudi menjaga rumah itu sepeninggalannya. Setelah berfikir panjang, akhirnya Safiyya mengambil keputusan untuk mengikuti mereka balik ke bandar. Safiyya yakin arwah ibu bapanya tidak ingin melihatnya berputus asa seperti itu. Safiyya pasti keputusan yang dibuatnya itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan juga masa hadapannya.


PERJALANAN dari rumah Safiyya ke tempat kediaman Rozie dan Razlan mengambil masa yang agak lama. Safiyya belum tahu lagi di mana dia akan bersekolah. Kata ibunya, Rozie dan Razlan tinggal di sebuah taman perumahan elit. Tidak seperti Safiyya dan keluarganya yang sudah terbiasa tinggal di kampung. Fikiran Safiyya runsing memikirkan pembelajarannya di tempat baru itu nanti. Akankah dia dapat membiasakan diri di tempat yang asing baginya itu? 

        Itulah kali pertama dalam hidupnya dia tinggal di kawasan bandar. Dahulu, Razlan pernah menawarkan Safiyya untuk melanjutkan pelajaran di bandar, di tempat tinggalnya  apabila mendapat tahu bahawa Safiyya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendahnya. Pasti sekolah itu tidak akan menolak pelajar pintar seperti Safiyya. Namun, Safiyya menolaknya dengan baik. Dia begitu sayang untuk meninggalkan orang tuanya. Maklumlah, Safiyya merupakan anak tunggal.

        Semalam, Rozie dan Razlan telah membawa Safiyya ke pejabat pendaftaran untuk mendaftarkan status Safiyya sebagai anak angkat mereka yang sah di sisi undang-undang. Katanya, proses itu akan mengambil masa lebih kurang seminggu. Namun bagitu, Safiyya sudah dibenarkan untuk tinggal dengan mereka dalam waktu itu. Walaupun tahun hadapan Safiyya akan menyambut hari lahirnya yang ke-18, tetapi kini Safiyya masih lagi di bawah umur dan pengambilan Safiyya sebagai anak angkat haruslah dibuat secara sah. Razlan tidak ingin mengulangi kesilapan lalu yang pastinya sedang menunggu masa untuk menghancurkan hidup orang di sekelilingnya.

“Terima kasihlah Fiya, kerana sudi menjadi anak angkat kami,” kata Razlan kepada Safiyya dalam perjalanan mereka menuju ke kediaman Rozie dan Razlan.

“Tak apa uncle, aunty. Lagipun, Fiya tahu yang arwah ayah dan ibu mesti tak mahu tengok Fiya putus asa macam ini. Mereka mesti nak tengok Fiya berjaya dalam hidup Fiya, walaupun tanpa mereka ada di sisi Fiya buat waktu ini,” balas Safiyya sayu.

“Baguslah kalau Fiya boleh berfikiran positif dan jernih seperti itu. Uncle pun tahu yang Fiya pasti tak sanggup untuk menghancurkan harapan ibu dan ayah Fiya,” Safiyya hanya tersenyum memdengar kata-kata Razlan. Terdetik juga dalam fikiran Safiyya, ‘Uncle Lan dengan aunty Zie ini, tak ada anak ke sampai nak ambil aku sebagai anak angkat mereka?’ Sesungguhnya, Safiyya tidak pernah bertemu dengan anak-anak Rozie. Rozie juga tidak pernah menceritakan sama ada dia mempunyai anak ataupun tidak.

“Sebenarnya, aunty faham apa yang Fiya fikirkan sekarang. Fiya terfikirkan kenapa aunty dan uncle ambil Fiya sebagai anak angkat kami, bukan?” Safiyya hanya menganggukkan kepalanya. Tidak disangka-sangka, Rozie dapat membaca fikirannya. Adakah orang lain memang mudah untuk membaca fikirannya? Entahlah...

“Seperti yang uncle ada cakap semalam, Fiya merupakan amanah kami. Namun, aunty ikhlas untuk mengambil Fiya sebagai anak angkat kami. Sebenarnya, aunty dan uncle dah ada anak. Sepasang. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki namanya Daniel. Yang perempuan pula, namanya Diana. Daniel ini, akan jadi abang kamu. Kebetulan pula, Daniel sebaya dengan kamu. Diana pula, akan jadi adik kamu. Tahun ini, Diana masuk tujuh tahun. Dia itu, manja sikit. Maklumlah, anak bongsu. Harap-harap, Fiya dapat bertahan dengan kerenah Diana ya…” pinta Rozie. 

Dia yakin dengan kehadiran Safiyya dalam keluarganya akan membuatkan anak bongsu lebih bahagia. Mungkin juga perangai malas Daniel boleh berubah sedikit demi sedikit. Tahulah dia bagaimana untuk menjadikan Safiyya sebagai contoh kepada Daniel. Dia mahu melihat anak bujangnya itu berjaya seperti suaminya.

“Insya-Allah aunty. Masa Fiya kat rumah Fiya dulu pun, pernah jaga budak-budak juga. Kalau jiran sebelah rumah keluar, mereka tinggalkan anak mereka dengan Fiya. Jadi, nanti senanglah Fiya jaga Diana,” jawab Safiyya. Tidak sabar rasanya ingin menemui ahli keluarga barunya. Selama ini, dia hanya sendiri. Dan kini, dia bakal mempunyai seorang adik dan juga seorang abang. Walaupun sebaya, pastinya ada perbezaan, bukan. 

Tetapi, bukankah tadi aunty Zie cakap namanya, Daniel? Mungkinkah dia Daniel yang sama? Tetapi bagaimana mahu membuktikan bahawa Daniel anak mereka adalah Daniel yang sama? Ah, belum tentu lagi. Dalam Malaysia ada ramai lelaki yang bernama Daniel. Bukannya dia seorang sahaja yang mempunyai nama yang sama. Betul juga...

“Lagi satu Fiya, janganlah panggil kami dengan gelaran ‘aunty Zie’ dan ‘uncle Lan’ lagi. Fiya kan dah jadi anak kami. Panggil saja ‘mama’ dan ‘papa’ ya,” Safiyya hanya mengangguk sahaja mendengar permintaan Rozie. Memang itulah gelaran yang sepatutnya dia berikan kepada orang tuanya angkatnya. Mereka sudah sudi untuk menjaganya. Mereka adalah ibu bapanya yang kedua setelah arwah orang tuanya. Safiyya pasti akan menghormati mereka sebagaimana dia menghormati arwah orang tuanya dahulu. Itulah yang telah diajarkan oleh mereka supaya dia sentiasa menghormati orang yang lebih tua darinya. Kata ibunya, orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu. Sedangkan pemikiran orang lainpun harus dihormatinya, inikan pula orang yang banyak berjasa kepadanya.

Tidak lama selepas itu, mereka pun sampai ke rumah Rozie. Rumah kediaman Rozie adalah sebuah rumah banglo yang cukup luas. Bagaikan rumah impian seorang gadis kecil yang serba kekurangan. Banglo tersebut dibina di tengah-tengah kesibukan warga kota. Setiap rumah di taman itu merupakan rumah banglo. Taman perumahan itu merupakan tempat kediaman untuk orang yang berada. Tidak hairanlah jika mereka mampu membina rumah di taman perumahan itu kerana Rozie dan suaminya merupakan orang berada.

Safiyya memasuki ruang tamu yang mewah dan di reka khas itu. Razlan merupakan seorang arkitek yang terkenal. Tidak hairanlah jika dia boleh mereka rumah eksklusif untuk keluarganya sendiri. Keseluruhan rumah itu merupakan rekaannya sendiri. Rozie pula bekerja sebagai seorang pengusaha butik yang berjaya. Cawangan butiknya ada di seluruh negara. Safiyya leka memerhatikan rumah itu. Tiba-tiba, kedengaran suara kanak-kanak kecil ketawa riang menyambut kehadiran mereka.

“Yey, yey, mama dah balik. Mama, mama bawa balik ole-ole apa ma? Yana nak tengok. Mana, ma? Mana…?” Soalan anak kecilnya itu hanya disambut dengan senyuman yang terukir manis di bibir Rozie. Anaknya itu memang manja. Dari kecil dia sudah ditatang bagai minyak yang penuh. Segala kemahuannya dituruti. Cakap sahaja, apa yang dimahukan, pasti akan dibelikan.

“Tapi, ole-ole yang ini special tau,”

Special…? Apa itu ma? Patung Barbie yang baru ke? Mana, ma? Mana?”

“Tak lah,”

“Habis itu apa ma?”

“Selama ini, apa yang paling Yana nak?”

“Jap eh, Yana fikir dulu. Yang paling Yana nak ke?”

“Mestilah,”

“Dulu yang paling Yana nak, Yana nak kakak,”

“Dulu? Sekarang dah tak nak ke?”

“Mestilah nak.”

“Sekejap ya. Fiya, Fiya. Sini sekajap,” Safiyya terkejut mendengar namanya dipanggil. Dia tidak lagi berdiri tercegat di pintu masuk rumah, menikmati keindahan reka bentuk dan dekorasi kontemporari rumah itu. Dia terus memasuki ruang tamu itu sambil membawa beg pakaiannya dan barang kelengkapan persekolahannya,

“Siapa ini, ma?”

“Ini lah kakak yang Yana nak itu. Best tak ole-ole dari mama ini?” Dengan wajah yang kurang yakin terhadap kata-kata mamanya, Diana terus memerhatikan Safiyya dari atas ke bawah dan ke atas kembali. Safiyya menjadi gelisah dengan renungan adik angkatnya itu. ‘Dia marah pada aku ke, sebab aku jadi kakak dia. Sebab dia takut kasih sayang mamanya akan dirampas oleh aku?’ 

Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikiran Safiyya. Takut benar dia kalau-kalau adik angkatnya itu tak dapat menerima kehadirannya sebagai kakak angkatnya. Kalau begitu, ke mana harus dia pergi selepas ini? Haruskah dia meminta bantuan dari saudara-maranya yang lain? Tetapi mereka sendiri kekurangan. Bagaimana mereka mahu menampung lagi seorang ahli keluarga? Safiyya mula memikirkan perkara yang bukan-bukan yang mungkin akan ditempuhi selepas ini.

“Kakak baru Yana ke?”

“Yalah…”

“Betul ke?”

“Betul. Namanya, kakak Fiya.”

“Kakak Fiya?” Safiyya tersenyum apabila namanya disebut gadis kecil itu.

“Kata, Yana nak kakak. Sekarang, mama dah bawakan Yana kakak. Kakak Fiya akan jadi kakak Yana sampai bila-bila,”

“Yey, yey Yana ada kakak. Terima kasih mama. Mmmuah…” Sebuah ciuman daripada Diana singgah di pipi Rozie. Diana segera mendapatkan Safiyya dan memeluknya seerat yang mungkin.

“Kak Fiya, ikut Yana yuk. Tengok bilik permainan Yana. Yuk…” ajak Diana sambil menarik tangan Safiyya agar mengikutinya. Kata-kata yang terkeluar dari mulut dari gadis kecil molek ini, amat melegakan Safiyya. Tidak disangka yang kehadirannya amat diterima oleh keluarga barunya.

“Yana, kak Fiya kan penat. Biarlah dia rehat dulu ye,” pujuk Rozie. Pastinya Safiyya kepenatan menempuhi jarak perjalanan yang agak jauh. Dia tidak mahu Safiyya kepenatan pula melayani kerenah Diana. Biarlah dia merehatkan dirinya dahulu. Selepas itu barulah dia boleh melayani kerenah Diana. Diana merupakan anak yang manja dan sedikit nakal.

“Kalau macam itu, kak Fiya ikut pergi bilik tidur Yana. Kak Fiya boleh tidur dengan Yana,” pujuk Diana.

“Yana, kak Fiya ada bilik dia sendiri. Dia tidur di bilik dia sendiri. Kak Fiya dan abang Daniel kan dah naik ke tingkatan lima. Tahun ini kan, kak Fiya dengan abang Daniel nak ambil SPM. Dia orang kena belajar lebih. Kalau kak Fiya tidur denganYana, nanti kak Fiya tak dapat belajar. Nanti Yana asyik kacau kakak je,”

“Alah, mama. Tak best la kalau macam ini,” ujar Diana sambil memuncungkan bibirnya tanda protes. Safiyya sekadar memerhatikan gelagat comel si anak kecil itu dalam memujuk ibunya. Kasihan pula rasanya melihat anak kecil itu merajuk tanpa dipujuk.

“Tak apalah mama. Nanti biar Fiya temankan Yana main,” ujar Safiyya. Kasihan dia melihat Diana.

“Yey, yey.” Diana melonjak dengan gembiranya apabila mendengar persetujuan Safiyya untuk menemaninya.

“Tapi Yana, kakak nak salin baju dulu ya. Lepas itu nanti, kakak turun temankan Yana main,” Safiyya melutut di tepi Diana sambil mengusap lengan Diana. Diana mengangguk dengan gembiranya.

“Kamu tak penat ke Fiya?” soal Rozie. Dia bimbang Safiyya akan kepenatan melayan kerenah Diana.

“Tak apa mama. Lagipun, nanti Yana boleh tunjukkan kawasan sekeliling rumah ini,” putus Safiyya. Safiyya meminta diri dan menuju ke bilik barunya dengan diiringi oleh seorang pembantu rumah banglo tersebut. Bilik tidur barunya amat luas. Lebih besar daripada bilik tidur di rumah lamanya dahulu. Setelah selesai meletakkan beg Safiyya di samping katil, pembantu rumah tersebut berdiri tercegat di sisi katil Safiyya, menunggu arahan selanjutnya untuknya.

“Ada apa-apa yang boleh Mak Yam bantu lagi, cik?” tanya pembantu rumah itu dengan sopan.

“Mak cik tak perlulah panggil Fiya dengan gelaran ‘cik’. Panggil sahaja Fiya,  ‘Fiya’. Nurul Safiyya. Kalau boleh Fiya tahu, nama mak cik siapa?” soal Safiyya pula.

“Nama mak cik, Siti Mariam. Fiya boleh panggil mak cik dengan panggilan Mak Yam macam orang lain. Kalau Fiya tidak suka dipanggil dengan gelaran ‘cik’ tak apa. Mak Yam panggil Fiya dengan nama Fiya je ye,” Safiyya menganggukkan kepalanya. Oh ya! Dia baru teringatkan sesuatu. Mungkin Mak Yam boleh membantunya.

“Mak Yam, kata mama dia ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Fiya cuma nampak Diana sahaja. Anak lelaki mama mana?” tanya Safiyya sambil duduk di atas katil barunya. Dia turut mempelawa MakYam duduk di sisinya.

“Fiya tanyakan Daniel ke?” ‘Daniel?’ detik hati Safiyya. Walau bagaimanapun, dia tetap mengangguk. Dia teringin benar mengenali abang angkatnya itu. Namanya sahaja sudah memusykilkannya. Sejak nama itu disebut oleh Rozie di dalam kereta tadi, Safiyya tidak senang duduk jadinya. Dahulu, dia mempunyai seorang teman yang bernama Ashraf Daniel. Namun, mereka berdua sudah lama tidak bersemuka. ‘Adakah abang angkatku ini adalah Acap, teman lamaku?’ Persoalan itu dari tadi memburu jawapannya.

“Daniel tidur di rumah kawannya malam tadi. Kalau cuti-cuti macam ini, Daniel memang suka pergi rumah kawan-kawan dia. Macam-macam aktiviti mereka rancang untuk penuhi masa cuti mereka. Mungkin, esok baru dia balik ke sini. Daniel suka menginap di rumah kawan-kawannya kalau waktu cuti macam ni,” terang Mak Yam. Safiyya menganggukkan kepalanya mendengar penjelasan Mak Yam mengenai Daniel.

“Kakak, kak Fiya. Kak Fiya dah siap belum? Yana tunggu dekat depan tau!” laung Diana dari tingkat bawah.

“Kalau begitu tak apalah MakYam. Nanti kalau ada apa-apa Fiya cari Mak Yam ya. Yana dah tunggu Fiya itu.”

“Baiklah,” kata Mak Yam seraya meninggalkan Safiyya di dalam biliknya untuk menyalin pakaiannya itu. Tidak lama selepas itu, Safiyya turun ke tingkat bawah dan melihat kelibat Diana yang sedang menunggunya di salah sebuah kerusi yang ada di ruang tamu itu.

“Kenapa kak Fiya salin baju lama sangat. Penat tau Yana tunggu kakak kat sini,” kata Diana sambil menarik muka masamnya.

Sorrylah kakak terlambat tadi. Yana janganlah merajuk lagi. Macam mana kakak nak jalan-jalan kat rumah ini, kalau Yana tak nak tunjukkan rumah ini pada kakak. Kata tadi nak bawa kakak pergi tengok bilik permainan Yana,” ujar Safiyya, cuba memujuk Diana. Akhirnya, setelah lama dipujuk, Diana bersetuju untuk membawanya melihat kawasan sekitar rumah banglo tersebut. Memandangkan rumah itu mempunyai kawasan yang agak luas, Safiyya mengambil masa yang agak lama untuk mengenal pasti semua kawasan persekitaran rumah banglo tersebut.

“Kakak, Yana penatlah. Yuk kita duduk dekat sana,” ajak Diana, lantas menarik Safiyya menuju ke ruang tamu rumah banglo itu. Safiyya duduk dan melihat jam yang tergantung antara gambar Razlan dan isterinya dan juga gambar anak-anak mereka. Yana meneliti wajah anak lelaki mereka yang bernama Daniel itu. Ada iras-iras wajah temannya sedikit.. mungkin di bahagian matanya. Mereka masing-masing mempunyai bulu mata yang panjang dan melentik. Safiyya memandang sekilas ke arah jam itu kembali. Kini, jam di dinding menunjukkan jam 6.30 petang. ‘Ya Allah! Aku terlupa pulak nak solat Asar. Lebih baik aku solat sekarang, sebelum masuk waktu Maghrib.’

“Yana, kakak naik dulu ya. Kakak belum solat lagi…” ujar Safiyya dengan tutur kata yang lembut.

“Alah, kak Fiya kan belum masuk bilik mainan Yana lagi. Alah kak, nantilah. Kita pergi dekat bilik minan Yana dulu la. Bolehlah kak…” rayu Diana.

“Yana janganlah merajuk. Kakak kan nak pergi solat je. Nanti, lepas makan malam, kakak janji kakak temankan Yana main. Macam mana, boleh?” Setelah puas dipujuk, barulah Diana mahu melepaskannya.

Sesampainya sahaja di biliknya, Safiyya terus menuju ke bilik air dan mengambil wuduk. Setelah selesai menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslimah, Safiyya mengambil al-Quran yang terletak di atas meja belajarnya dan membacanya untuk menambahkan amal ibadahnya. Dia juga tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan arwah ibu bapanya. 

Senja mula melabuhkan tirainya, dan menyambut malam yang bakal tiba. Setelah selesai menunaikan solat Maghrib, Safiyya turun ke dapur untuk membantu Mak Yam menyediakan makan malam untuk keluarga itu. Setelah selesai menikmati makan malam, Safiyya menepati janjinya untuk bermain dengan Diana. Jelas kelihatan kegembiraan yang dirasai oleh Diana setelah mendapat seorang kakak.

Lega rasanya setelah melihat Diana terlena di atas katilnya. Safiyya berasa agak letih melayan kerenah Diana. Walau bagaimanapun, dia sudah terbiasa dengan keadaan yang seperti ini. Setelah meminta izin untuk naik ke atas, Safiyya menuju ke biliknya dan menunaikan solat Isya’. Selepas itu, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk yang berhadapan dengan meja belajarnya. Dia mencatatkan sesuatu di dalam diari harian kesayangannya.

Dear Diary,

        Hari ini, saya dah berpindah ke dalam keluarga baru saya. Mama (Mama Zie) dengan papa (Papa Lan) ada dua orang anak. Pada mulanya, saya takut sangat tau. Yalah, takut kalau anak-anak mereka tak dapat terima saya dalam keluarga mereka. Siang tadi baru saya sampai ke sini. Rumah ini, besar sesangat. Lebih besar dari rumah saya yang dulu. Walau bagaimanapun, rumah tersebut tetap menjadi persinggahan ingatan saya. Apa tidaknya, itulah satu-satunya termpat yang tertanam banyak kenangan arwah ibu dan ayah bersama  saya.

       Balik kepada topik tadi. Masa saya sampai, saya jumpa adik baru saya. Namanya, Diana. Orang panggil dia Yana saja. She is the nice one. Muka dia comel sesangat. Teringat muka saya masa saya kecik-kecik dulu. Hehehe… dah mula berangan ini...

Anak lelaki mama dengan papa namanya Daniel. Terdengar saja, nama dia teringat kawan saya yang bernama Daniel dulu. Nama yang saya beri pada dia adalah ‘Acap’. Nama panjang dia Ashraf Daniel. Kalau tak salah saya depan nama dia ada Muhammad. Entahlah. Tak ingat. Binkan siapa? Itu saya tak tau. Lupa pula nak tanya pada dia. Hehehe… Masa itu kita orang kecil lagi. Mana ingat nak tanya itu ini. Dah besar macam inilah baru nak menyesal. He was my former classmate when I’m in standard one. When we are in standard two, he and his family were move to another place because his father got another jobs there. That was what I remember what he told me.

Kata Mak Yam tadi, esok abang saya akan balik sini. Tak sabar rasanya nak berkenalan dengan dia. Nama dia macam menggambarkan yang abang saya ini, seorang yang baik dan peramah. Mesti senang nak cope with dengan dia.

Untuk arwah ibu dan ayah, ingatan dan doa akan sentiasa meniti di bibir Safiyya untuk kalian berdua. Semoga ibu dan ayah bahagia di alam sana. Sayang ibu dan ayah. See you at the heaven. Untuk Acap, Opie akan tunggu kedatangan Acap...
                                                                              
                                                                Nurul Safiyya

Selepas itu, Safiyya menutup buku hariannya lantas berbaring di atas katilnya dan melelapkan mata. Impiannya untuk bertemu dengan abangnya itu terbawa-bawa dalam mimpinya malam itu. Dia pasti esok pasti menjadi hari yang cukup bermakna dalam hidupnya. Dapat berjumpa dengan abang yang berkemungkinan besar kawan lamanya dahulu.


Sudah berapa lama
Diriku ini tak bertemu mu

Mungkin ku harap jua kau merinduku

Sebagaimana ku rindumu


Cinta antara kita tiada penghalangnya
Walau akhir usia ku menyinta dirimu

Ku hanya menunggumu bila tak kau cintaku

Ku kan berjanji menyintamu sayang

No comments:

Post a Comment