Thursday 27 August 2015

Semanis Kashimu (Episod 3)

 PAGI ini merupakan pagi yang baru untuk Safiyya. Dia akan mula memasuki kelas tingkatan lima. Pada hujung tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan SPM. Oleh itu, Safiyya sudah bersiap awal-awal pagi lagi. Dia memastikan tiada satu pun barangnya yang tertinggal. Ketika dia turun ke bawah, dia melihat Mak Yam sedang menyediakan sarapan pagi untuk mereka.

“Eh, Fiya. Cepatnya kamu bersiap. Kamu nak makan apa Fiya?” tanya Mak Yam.

“Nantilah Mak Yam baru saya makan. Saya nak tunggu mama, papa dengan Daniel,”

“Panjang umur. Itu mama dengan papa kamu dah turun,” kata Mak Yam setelah melihat Rozie dan Razlan menuruni tangga.

“Selamat pagi, mama, papa,” tegur Safiyya.

“Eh, Fiya. Cepatnya kamu. Daniel mana?” tanya Razlan setelah tidak melihat kelibat anak bujangnya di situ. Safiyya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu.

“Mesti kamu lupa kejutkan Daniel,” ujar Rozie. Safiyya baru teringat yang Razlan menyuruhnya untuk mengejutkan  Daniel pada pagi itu kerana Daniel liat sedikit hendak bangun. Safiyya terpaksa naik ke atas kembali untuk mengejutkan Daniel. Tetapi, dia beringat sebelum memutar tombol pintu bilik abangnya. Dia tidak akan sesekali masuk ke dalam bilik abangnya. Mereka bukan muhrim. Dosa kalau berdua-duaan dalam satu tempat.

 
Safiyya mengambil keputusan untuk mengetuk sahaja pintu itu untuk mengejutkan abagnya. Selepas mendengar sahutan dari dalam, Safiyya terus turun ke meja makan untuk mencicipi sarapan paginya. Pada pagi ini, Mak Yam menyediakan nasi goreng dan juga roti bakar untuk mereka sekeluarga. Setelah menghabiskan makanannya di pinggan, Safiyya meminta diri untuk pergi ke kereta dahulu kerana Daniel masih belum turun.

Safiyya meletakkan begnya di tempat duduk belakang kereta. Dia berdiri di hadapan pintu sambil membaca buku rujukan matapelajaran Biologi. Bidang sains dan matematik merupakan mata pelajaran kegemarannya. Dia sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang doktor. Dia mahu membantu orang yang menderita dan memastikan tiada orang yang tidak mendapat pertolongan perubatan jika orang tersebut memerlukan bantuannya.


Daniel sudah keluar dari biliknya. Dia terus menjamah sarapan paginya. Dia menoleh dan tidak kelihatan kelibat Safiyya. ‘Mesti budak ini sekadar kejutkan aku. Lepas itu, tidur balik. Buat apa aku pedulikan dia. Aku dapat malu hari itu pun sebab dia.’ bisik hati Daniel.

“Mama, Daniel pergi dulu ya,” kata Daniel kepada ibunya selepas menjamah makanan paginya. ‘Biar padan muka dia. Aku akan kenakan dia nanti. Apa yang aku nak buat ya? Ha! Apa kata, aku tinggalkan dia. Biar dia jalan kaki pergi sekolah nanti.’ Daniel bermonolog sendiri sambil berjalan menuju kereta.

Namun, pada pagi itu hajatnya tidak kesampaian. Daniel begitu terperanjat sewaktu dia sampai ke tempat letak kereta. Dia tidak menyangka bahawa Safiyya sudah berada di situ lebih awal darinya. Ini bermakna, tidak jadilah rancangannya untuk mengenakan Safiyya. Sepanajng perjalanan ke sekolah, mereka berdua diam seribu bahasa.

Sesampainya sahaja di sekolah, Daniel pantas melangkah keluar terlebih dahulu dan diikuti oleh Safiyya. Safiyya masih tidak tahu lagi akan kedudukan bangunan dan bilik darjah di sekolah barunya. Dia amat berharap Daniel sudi untuk menunjukkannya nanti. Setelah memastikan kereta pemandu ayahnya sudah cukup jauh meninggalkan perkarangan sekolah, Daniel berpusing ke arah Safiyya.

“Kau ingat lagi tak jawapan jika orang lain tanya mengenai hubungan kita, sebab kita mempunyai nama bapa yang sama?” tanya Daniel sepantas kilat. Safiyya mengeluh dan mengangguk.

“Ingat. Kita berdua tak kenal. Sekadar kebetulan sahaja nama bapa sama. Pergi dan balik sama-sama sebab kita berdua adalah jiran,” jawab Safiyya. Tak mungkin untuk mereka memberitahu umum bahawa mereka adalah kembar kerana wajah dan tarikh lahir mereka berbeza. Kalau mereka mengatakan bahawa mereka adalah kembar, pasti orang akan bertanya kenapa beza umur mereka hanya beberapa hari sahaja. Lebih baik mereka buat-buat tidak kenal.

I want to remind you something. I don’t have time to show you this school. Moreover, if my girlfriend see us, you know, when I’m with you, she will ask me for a clash. So, don’t do anything that can make her angry. Another condition I will inform you later,” kata Daniel.

I don’t ask you for accompany me to look around the school. And, I don’t interest to interfere in your relationship with your beloved girlfriend, okay. Only one you have to tell me. Where is my class?” tanya Safiyya sambil mengekori Daniel dari belakang.

“Manalah aku tahu. Aku sendiri belum diberitahu masuk ke kelas yang mana satu. Kalau kau nak tahu mana kelas kau,cubalah tanya mana-mana pengawas yang bertugas. Diaorang dengan senang hati akan tunjukkan kau jalan. Sekarang, boleh tak kau berhenti daripada ikut aku?”

“Manalah saya tahu keadaan kat sekolah awak ini. Jadi, saya ikutlah awak. Saya mana kenal sesiapa pun di sini kecuali awak seorang. Takkanlah saya nak duduk dekat pondok jaga. Kalau awak tak nak tunjukkan kelas pun tak apa. Asalkan awak boleh tunjukkan dekat mana nanti perhimpunan akan dijalankan. Itu saja,”

“Kau ini kan. Kalau aku cakap kau ‘tak berapa nak pandai’, kau marah. Cubalah kau duduk di sana. Nanti kalau dah bunyi loceng, kau ikutlah ke mana budak-budak pergi. Itu pun susah nak fikir,” kata Daniel sambil menunjukkan bangku yang terletak di salah sebuah taman di sekolah tersebut.

“Memang tak ada ciri-ciri seorang abang yang baiklah mamat ini,” ucap Safiyya separuh berbisik sambil menuju ke arah bangku yang ditunjukkan oleh Daniel tadi. Namun begitu, pendengaran Daniel masih lagi jelas. Dia dapat menangkap apa yang dicakapkan oleh Safiyya sebentar tadi. Lantas, dia terus menarik lengan Safiyya.

Can you repeat what did you said?” ujar Daniel sambil menarik pergelangan tangan Safiyya.

“Mana ada saya cakap apa-apa. Yang awak perasan sangat kenapa? Saya cuma cakap yang awak ini tak ade ciri-ciri seorang abang yang baik. Tak betul ke?” Sepantas kilat Safiyya menekup mulutnya. ‘Alamak! Macam mana boleh terlepas cakap ini. Habislah! Nak buat macam mana ini. Kat mana nak sembunyi? Toilet! Alah, mana pulak toiletni? Ha, itu pun.’ Belum sempat Daniel berkata apa-apa, Safiyya melepaskan tangannya daripada genggaman abangnya yang cukup erat. Dia terus menuju ke tandas pelajar perempuan.

“Sesedap hati kau, saja cakap aku ini tak ada ciri-ciri abang yang baik. Eh, aku ini tokoh abang yang paling baik tau. Tapi, macam mana di boleh tahu yang di situ ada tandas ha? Setahu aku, dia pelajar baru kat sini. Sorang murid pun dia tak kenal. Yang dia kenal cuma aku saja. Hai, tak jadi lagi plan aku nak kenakan dia ini. Kenapalah nasib kau selalu baik ha?” Daniel bermonolog sendiri.

Krrriiinggg!!! Loceng sudah berbunyi dan memecahkan keriuhan sekolah tersebut. Safiyya menjengukkan kepala untuk memastikan bahawa Daniel tidak berada di sekitar situ sebelum dia keluar dari tempat persembunyiannya. Safiyyamengikuti saran Daniel. Dia melihat para pelajar berpusu-pusu ke arah satu lorong yang diapit oleh dua buah bangunan dua tingkat. Dia mengikut sahaja laluan itu. Lorong tersebut menuju ke arah sebuah dewan yang tersergam indah. Ketika Safiyya memasuki dewan tersebut, kelihatan seorang guru perempuan sedang mengatur kedudukan para pelajar. Safiyya pun mendekati guru tersebut untuk mengetahui di mana kedudukannya.

“Maafkan saya cikgu,” sapa Safiyya.

“Ya. Ada apa?” tanya guru tersebut.

“Kalau boleh saya tahu, di mana saya harus beratur cikgu?”

“Kamu tingkatan berapa?”

“Saya di tingkatan lima. Tapi, saya baru berpindah ke sini. Jadi saya tak tahu kedudukan saya, cikgu,”

“Oh, kamu pelajar baru ke? Baru tahun ini ya masuk ke sekolah ini? Selamat datang ke sekolah kami,” Safiyya mengiyakan semua pertanyakan guru tersebut dengan menganggukkan kepalanya. Senyuman manis diberikan atas sambutan hangat guru tersebut.

“Baiklah kalau begitu, kamu pergi beratur di sana. Di sana semuanya pelajar tingkatan lima. Nanti, kami akan membahagikan kamu ke kelas kamu. Okey,”

“Baiklah cikgu. Terima kasih cikgu. Maaf saya menganggu tugas cikgu,”

“Tak mengapa,” balas guru tersebut dengan senyuman. Safiyya terus pergi ke tempat yang beritahu oleh guru tadi. Pelajar yang sama tingkatannya tidak ramai. Selepas menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah, tuan pengetua berdiri untuk memberikan sepatah dua kata. Setelah itu, semua pelajar bersurai kecuali pelajar tingkatan lima. Mereka akan dibahagikan kepada kelas mereka. Setiap pelajar telah diminta beratur dan pergi ke meja-meja yang berada berdekatan dengan pintu. Mereka diminta untuk mengenal pasti nama mereka dalam senarai kelas, kemudian, baru berjumpa dengan guru yang bakal menguruskan mereka.

Setiap pelajar menerima sampul surat yang tercatat namanya. Safiyya mengeluarkan isi yang terkandung dalam sampul surat tersebut. Safiyya meneliti kertas yang diberikan kepadanya. Di situ tercatat namanya, kelasnya dan kedudukannya di kelas tersebut. Tidak lupa juga, pelan sekolah yang menunjukkan kedudukan bangunan sekolah dan kedudukan kelas yang bakal ditempatinya. Safiyya melangkah ke blok ‘Active’. Dia menaiki tangga ke tingkat dua. Kelasnya terletak di hujung sekali.

Ketika dia sampai di kelasnya, dia terus mendapatkan tempat duduknya. Setiap meja di susun secara berpasangan. Terdapat 20 buah meja. Dia duduk bersebelahan dengan seorang pelajar perempuan yang sedang khusyuk membaca buku. Safiyya menoleh ke belakangnya. Kelihatan masih banyak pelajar yang belum memasuki kelas. Kira-kira, baru sepuluh orang murid yang berada di kelas itu termasuk dirinya. Safiyya ingin menegur pelajar di sebelahnya. Tetapi, tidak jadi apabila mendengar suara yang agak bising dari luar kelas.

Dia menoleh ke luar jendela. Ketika dia menoleh, dia melihat Daniel dengan seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan menuju ke arah kelasnya. ‘Tak mungkin dia sekelas dengan aku. Alah, ini yang tak bestini. Macam mana aku boleh tak perasan nama dia dalam senarai kelas tadi. Tapi, kenapa kalau dia sekelas dengan aku? Bukannya salah pun. Tapi, aku tak kira. Naik menyampah tengok muka dia itu. Geraaam!!’ bisik hati Safiyya. Di menoleh kembali ke arah rakan di sebelahnya.

“Assalamualaikum. Boleh berkenalan?” tanya Safiyya. Gadis itu menoleh. ‘Muka dia ini, macam pernah aku tengok lah. Macam familiar saja. Tapi, siapa ya dia ni?’ Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. Lama pelajar itu merenungnya. Sesekali, pelajar perempuan tersebut menoleh ke belakang. Memerhati seorang pelajar lelaki yang duduk tidak jauh di belakang mereka. Kemudian, pelajar berkenaan memalingkan wajahnya ke arah Safiyya kembali. Muka Safiyya kemerah-merahan kerana begitu lama ditenung.Safiyya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berasa agak rimas ditenung seperti itu. Dan itulah yang sering dilakukannya jika dia berasa tidak selesa akan sesuatu perkara.

“Awak ni, Fiya kan? Safiyya anak mak cik Mona dengan pak cik Razlan?” tanya gadis tersebut.

“Ya. Macam mana awak tahu? Awak ini siapa?” tanya Safiyya kembali.

“Awak tak kenal saya ke?”

“Maaf. Tapi saya tak berapa nak ingatlah,”

“Ini sayalah, Lyssa. Alyssa Adeena. Anak mak cik Zariah,” kata Alyssa cuba menyakinkan Safiyya.

“Ya Allah. Awak rupanya Lyssa. Macam mana saya boleh tak kenal ini? Patutlah muka awak ini macam familiarsaja. Rupanya anak mak cik Zariah yang jadi ‘mak cik Joyah’ kat kelas dulu. Tapi, serius. Awak memang dah berubah. Makin cantik,” ujar Safiyya dengan riangnya. Dia begitu gembira kerana dapat bertemu kembali dengan sahabat karibnya yang sudah lima tahun berpisah. Safiyya terus mendakap Alyssa erat. Alyssa turut membalas pelukan sahabat lamanya itu.

“Kalau awak nak tau. Ada satu yang masih belum berubah,”

“Apa dia?”

“‘Mak cik Joyah’ saya lah,” Safiyya hanya tersenyum melihat telatah kawannya itu. Gelaran ‘mak cik Joyah’ sering disandang oleh Alyssa sejak dia bersekolah rendah lagi. Hal ini kerana sikapnya yang suka mengambil tahu hal orang lain. Atau kini lebih dikenali dengan gelaran ‘gossip girl. Alyssa sentiasa menjadi juara ‘mak cik Joyah’ setiap kali ada perkhabaran yang terbaru. Alyssa menjadi rakannya semasa di Darjah Dua. Sejurus Daniel berpindah, Alyssa memasuki kelasnya dan menggantikan tempat Daniel yang masih kosong ketika itu. Alyssa tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Daniel.

“Tapi kan, macam mana awak boleh cam saya?”

“Macam mana saya boleh lupa macam mana muka awak kalau awak ditenung lama-lama. Bila rasa tak selesa, mulalah tergaru-garu kepalanya. Macamlah banyak sangat kutu di kepala dia,” terang Alyssa.

“Awak ingat lagi tak pada Syafiq. Alah, Syafiq yang selalu nak mengurat awak dari mula dia masuk ke sekolah dengan saya dulu?” tanya Alyssa membuka ruang perbincangan antara mereka.

“Rasanya, saya ingat kot,” ujar Safiyya. Syafiq pula menyusul memasuki kelas mereka setahun selepas Alyssa.

“Dia sekelas dengan kita berdua tahun ini. Saya jumpa dengan dia tahun lepas di sekolah ini,”

“Apa pula kena mengenanya dia dengan saya?”

“Dia asik tenung awak dari tadi,”

“Dia tenung saya?” tanya Safiyya sambil menoleh ke arah rakan-rakannya yang ada di kelas. Barulah dia perasan. Ada seorang budak lelaki yang dari tadi merenungnya tanpa berkelip pun. Pelajar berkenaanlah yang Alyssa lihat sebentar tadi. Setelah pasti pelajar itu adalah Syafiq, barulah dia menoleh kembali ke arah Alyssa.

“Patutlah awak tengok dia tadi. Tapi, macam mana dia boleh cam saya? Kan dah lebih lima tahun saya tak jumpa dengan dia?”

“Kalau awak nak tau, dia itu dah angau kat awak. Tak tahulah macam mana dia seorang saja yang boleh cam muka awak. Tak adalah. Saya gurau sahaja. Saya kenal sangat dengan perangai awak. Sikap awak,” sambung Alyssa. Mereka begitu rancak berbual.

Dari kejauahan, Syafiq terus menerus memerhatikan Safiyya. Dia langsung tidak jemu, kerana wajah itulah yang sekian lama dinantikan. Syafiq leka merenung Safiyya hingga tidak sedar bahawa kesemua pelajar sudah pun berada di kelas. Kini, rindunya sudah terubat apabila sang pujaan hati sudah berada di hadapan mata. Tuhan telah memanjangkan jodoh mereka sehingga mereka dapat bertemu lagi. Malah mereka dapat bersekolah dan belajar di sekolah dan kelas yang sama.

Sorry, ada orang tak duduk di sini?” Syafiq tersentak dengan pertanyaan tersebut. Dia menoleh ke seluruh kawasan kelas. Kelihatan, semua kerusi sudah ada pemiliknya sendiri.

“Tak ada. Duduklah,” Kata-kata yang dikeluarkan oleh Syafiq seolah-olah memberi kebenaran kepada pelajar tersebut untuk duduk di sampingnya. Pelajar berkenaan terus menarik kerusi dan menempati tempat berkenaan.

“Nama aku Mohd. Syukri. Kau boleh panggil aku Syukri ataupun Syuk. Nama kau?”

“Aku Mohd. Syafiq. Panggil je aku Afiq. Aku rasa aku pernah nampak muka kau, tapi di mana ya?”

“Oh, yang itu. Tahun lepas kau pernah terlanggar aku dengan basikal kau tu, ingat tak? Masa kau nak balik sekolah itu?”

“Oh ya. Aku ingat sekarang,” Kehadiran Syukri di situ sedikit sebanyak melekakannya daripada terus merenung Safiyya. Tidak lama selepas itu, seorang guru perempuan memasuki kelas mereka.

Good morning class,” ucap guru tersebut.

Good morning teacher” balas kesemua pelajar. Guru tersebut pergi ke arah meja guru yang terletak di hadapan kelas dan meletakkan barang-barangnya di atas meja tersebut.

            “Baiklah. Nama saya, Pn. Hayati binti Ismail. Awak semua boleh panggil saya cikgu Yati. Saya baru saja berpindah ke sini dan saya juga merupakan guru tingkatan kamu semua pada tahun ini. Baiklah untuk permulaan, kita akan adakan sesi perkenalan. Kalau boleh, saya nak kamu semua beritahu saya nama penuh, nama panggilan dan tempat tinggal kamu. Kita mulakan dari kamu,” tunjuk cikgu Yati kepada pelajar yang duduk bersebelahan dengan Daniel. Selepas pelajar tersebut, tiba giliran Daniel.

“Nama saya, Muhd. Ashraf Daniel bin Razlan. Korang semua boleh panggil saya Daniel sebab jarang orang panggil saya dengan nama Ashraf dan pada saya nama Daniel tu lagi coolkot. Hehehe...Saya tinggal di Taman Sempurna,” ujar Daniel dengan tenang dan lancar. Ada yang tertawa mendengar pengenalan diri Daniel. Terkedu Safiyya ketika Daniel memperkenalkan dirinya. Seperti dejavu. Dia seperti pernah mengalami pengalaman yang sama sewaktu Daniel memperkenalkan dirinya sebentar tadi. Baru dia teringat. Nama itu sama dengan nama kawan lamanya. Malah, pengenalan diri mereka juga hampir sama. Namun, begitu Safiyya tidak leka dan memperkenalkan dirinya pula.

“Nama saya Nurul Safiyya binti Razlan. Semua boleh panggil saya Safiyya atau Fiya. Saya tinggal di Taman Sempurna” terang Safiyya. Safiyya tersenyum seraya duduk apabila ada sesetengah pelajar mula berbisik kerana nama bapanya dan bapa Daniel adalah sama. Jika dia mengatakan bahawa dia adalah adik Daniel, pasti mereka akan percaya bulat-bulat.

“Adakah kamu berdua ini adik beradik kembar?” tanya cikgu Yati, pelajar perempuan yang sebentar tadi bersama dengan Daniel merenungnya dengan renungan yang tajam.

“Tidak. Saya baru sahaja berpindah ke sini minggu lepas. Mungkin  kebetulan sahaja nama bapa kami sama,” jawab Safiyya. Alyssa pula bangun dan memperkenalkan dirinya.

“Saya Alyssa Adeena binti Adam. Boleh panggil saya Lyssa dan saya tinggal di Taman Cemara” ujar Alyssa yang duduk bersebelahan dengan Safiyya.

             “Nama saya pula, Natasha Adeea binti Adam. You guysboleh panggil saya Shasha, biar nampak comel gitu... Saya pun tinggal di Taman Cemara” kata Natasha. Ada beberapa siulan mengiringi penerangan dirinya. Apa tidaknya, dia merupakan pelajar perempuan yang popular di sekolah itu.

Jadi Lyssa dengan Shasha ini, adik beradik kembar la ya?” tanya cikgu Yati. Natasha mengangguk mengiakan pertanyaan guru tingkatannya. Selepas itu, semua pelajar mula memperkenalkan diri masing-masing.

“Baiklah. Sekarang, saya nak lantik ketua, penolong, setiausaha dan juga bendahari tingkatan. Saya nak empat orangdi atas permintaan kamu semua. Siapa yang tidak jadi ketua dan penolong, secara automatik menjadi setiausaha dan bandahari. Saya buka cadangan,” ujar cikgu Yati setelah meneliti buku persediaan mengajar di mana dia telah mencatatkan segala tugasan yang akan dibuat pada hari tersebut.

“Saya cadangkan Daniel, cikgu,” cadang Natasha.

“Kamu pula Daniel. Nak cadang sesiapa?” tanya cikgu Yati.

“Saya cadangkan Shasha, cikgu,” jawab Daniel. Suara siulan daripada para pelajar dalam kelas itu melatari suasana kelas. Siapa yang tidak tahu bahawa mereka berdua merupakan pasangan paling popular di sekolah itu.

“Lain?”

“Saya cadangkan Fiya, cikgu,” Tersentak Safiyya apabila namanya dicalonkan. Dia ingin memandang, siapa yang memberi cadangan tersebut. Tetapi, Alyssa memberitahunya bahawa Syafiq yang mencalonkannya. Inilah yang dia tidak suka. Dia terpaksa menanggung bebanan. Bukannya apa, dia takut tidak tertanggung sahaja.

“Kamu nak cadangkan sesiapa, Fiya?” soal Cikgu Yati. Safiyya hanya menggeleng perlahan.

“Lain-lain cadangan? Saya memerlukan lagi satu nama,”

“Saya cadangkan Syukri, cikgu,” ujar Alyssa.

“Baiklah. Cadangan ditutup. Awak berempat sila keluar sebentar. Undian akan dijalankan,” Mereka berempat melangkah keluar kelas. Setelah beberapa ketika, mereka dipanggil semula masuk ke kelas. Safiyya melihat nama Daniel dan namanya tercatat sebagai ketua dan penolong tingkatan manakala, Natasha menjadi setiausaha dan Syukri sebagai bendahari. Mengapa pula namanya yang naik. Bukankah lebih bagus kalau Natasha yang menjadi penolong. Para pelajar tadi bukankah bersorak ketika Daniel dan Natasha mencalonkan nama masing-masing? Itu bermakna mereka beruda secocok.

‘La, kenapa aku jadi penolong pulak ini. Dah lah dengan si Daniel,’ getus hati Safiyya. Dalam benar keluhan yang terbit dari bibirnya.

‘Buat penat saja aku cadangkan Shasha jadi penolong aku. Tapi, kenapa pula nama si Fiya yang naik ini…” bisik hati kecil Daniel.

“Baiklah, Sabtu ini, saya nak awak semua datang ke sekolah. Hiaskan kelas awak ini. Yang penting, time table, duty roster, school mission and vision, organization chart and subject chartmesti siap. Kalau boleh sebelum minggu depan. Awak boleh bahagikan tugas. Di rumah boleh buat dan sampai di sekolah tinggal tampal. Ada apa-apa soalan?” tanya cikgu Yati setelah lama dia memberi penerangan. Safiyya mengangkat tangannya dan semua mata tertumpu padanya.

“Maafkan saya cikgu, macam mana pula dengan alas meja pelajar dan meja guru?” tanya Safiyya.

“Bagus pertanyaan kamu Fiya. Untuk alas meja saya akan bawa pada hari Sabtu nanti. Pada hari Sabtu, kalau awak dah siapkan semua, boleh balik. Ada apa-apa lagi Safiyya?”

“Ada cikgu. Boleh tak kalau kita buat perpustakaan mini di hujung kelas?” cadang Safiyya. Ramai pelajar berbisik sesama sendiri. Guru tingkatannya pula bertindak mendiamkan diri tanpa menerima mahupun menolak cadangan Safiyya itu.

“Tapi, kita nak letak bahan apa? Kita bukannya ada bahan pun,” ujar Daniel seraya berdiri, cuba membangkang. Suaranya membuatkan suasana kembali sepi.

“Kita boleh letakkan sisipan akhbar yang ada kaitan dengan pelajaran kita. Lagi satu, kalau ada pelajar yang mempunyai buku rujukan yang lebih, boleh diletakkan di situ juga. Ia boleh dijadikan sebagai rujukan,” kata Safiyya menghadap Daniel. Dia tidak lagi berdiri menghadap gurunya. Daniel kelu mendengar penjelasan dari Safiyya. Dia terus duduk menandakan tiada apa lagi bantahan darinya.


“Bagus idea kamu Fiya. Saya pun ada buku rujukan untuk kegunaan kamu semua. Nanti saya minta pihak sekolah menyediakan lagi dua buah meja untuk dijadikan perpustakaan mini di kelas kamu ini. Baiklah. Ada idea lain?” tanya Cikgu Yati. Safiyya menggeleng dan duduk kembali di tempatnya. Cikgu Yati mengedarkan jadual kelas mereka untuk semester pertama. Mereka diberitahu bahawa, setiap semester, jadual akan diubah. Selepas guru tersebut keluar, Daniel menjalankan tugasnya membahagikan kumpulan untuk menyiapkan carta. Hal ini kerana, pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas akan bermula pada minggu hadapan.

No comments:

Post a Comment