Thursday 27 December 2012

Aku dan Dia (episod 2)


Nampaknya dia seorang yang menepati janji. Habis sahaja kelas petang itu, aku segera balik ke rumahku. Selepas solat Maghrib, aku meminta kebenaran ibu untuk keluar sebentar. Aku segera menuju ke tempat yang dijanjikan, dan kulihat dia sudah pun tercongok di pintu menungguku.


Agaknya, kalau aku tak dapat datang macam mana agaknya? Takkanlah dia akan tunggu aku sampai pagi, kot. Dahlah aku tiada nombor dia untuk aku hubungi dan aku rasa dia pun tidak mempunyai nombor telefonku. Alahai, kesiannya dia.


“Lama tunggu?” sapaku. Hampir terjatuh dia ditegur olehku. Mungkin terkejut. Dia segera membetulkan kembali posisinya. Dia tersenyum ke arahku. Manisnya.


“Tak adalah lama sangat, tapi lagi awal dari awak,” guraunya. Aku hanya tertawa kecil mendengarnya.


“Awak datang naik apa tadi?” tanyanya apabila aku hanya mendiamkan diri. Bukannya aku bosan, tetapi entah kenapa aku menjadi agak kaku. Aku tidak tahu apa yang harus aku bualkan dengannya. Aku ni bukannya jenis perempuan yang rapat sangat dengan lelaki. Kalau setakat kawan-kawan sekolah yang rapat denganku bolehlah juga aku ajak berbual panjang.


Tapi dengan dia, serius aku katakan yang aku tidak tahu apa yang harus aku bualkan dengannya. Ini adalah kali kedua aku berbual dengannya semenjak aku menjejakkan kaki ke universiti ini.


“Oh, tadi saya naik teksi datang ke sini. Awak?” Soalanku dijawab dengan tangannya. Aku melihat ke arah yang dia tunjukkan. Oh, dengan motosikal. Motosikal? Motor? Alamak! Nak pergi naik motor ke? Bukannya aku ni sombong dan tak nak naik motor, tapi aku tidak pernah naik satu motor dengan lelaki melainkan ayah dan abangku. Macam mana ni.


“Oh. Awak, saya nak tanya sikit, boleh? Sebenarnya, kenapa awak nak jumpa saya? Maksud saya, kenapa mesti waktu malam? Petang tadi rasanya boleh aje,” Aku lihat dia tersenyum lagi. Comellah pula aku lihat dia ni.


“Sebenarnya, saya nak bawa awak pergi satu tempat. Saya yakin, awak mesti suka tempat yang saya nak bawa awak pergi ni,” ujarnya dengan penuh yakin. Aku mengangkat kening sebelah. Yakinnya dia.


“Awak pasti? Macam mana kalau saya tak suka? Apa kata, kalau saya suka tempat tu, saya belanja awak makan. Tapi, kalau saya tak berapa nak suka, awak yang kena belanja saya makan malam ni. Macam mana?” cabarku.


“Okay. Jangan merungut kalau saya pau awak ya. Nah, ambil helmet ni,” Topi keledar berwarna biru itu aku sambut. Macam mana ni? Apa yang patutu aku buat sekarang?


“Kenapa tak pakai?” soalnya pelik apabila aku hanya diam merenung topi keledar yang dihulurnya tadi.


“Awak tak sudi naik motor dengan saya?” soalnya lagi. Aku dapat mengesan nada kecil hati yang terkeluar dari mulutnya. Aku hanya menggeleng.


“Bukanya macam tu. Saya bukannya tak sudi, tapi jujur saya cakap, saya tak pernah naik motor dengan lelaki selain ayah dan abang saya. Saya harap awak tak kecil hati,” jujurku.


“Awak jangan risau. Saya takkan bawa motor ni laju-laju. Awak tak perlu fikir yang bukan-bukan. Dah lah tu. Meh sini saya pasangkan helmet tu,” katanya sambil mengambil kembali helmet yang berada di tanganku. Dengan cermat, dia mengenakan topi keledar itu ke kepalaku.




“Kalau awak still risau, awak pegang besi belakang motor saya kuat-kuat. Jangan sampai jatuh, tau. Nanti kempunan pula saya,” ujarnya penuh selamba. Namun sepantas kilat dia menutup mulutnya sendiri. Tak ubah umpama ayat itu sesuatu yang dia tidak sepatutnya diucap.


“Alah, saya tahulah. Kalau saya jatuh nanti, kempunan pula awak nak merasa saya belanja makan malam. Bukan selalu dapat makan free, bukan?” gurauku. Aku dapat melihat dia kembali tertawa. Kami segera bertolak meninggalkan pekarangan kampus. Dia membawaku ke salah sebuah pusat beli belah yang terletak tidak jauh dari kampus kami.


Aku rasa, jarang sekali pelajar kampusku bertandang ke tempat ini. Aku rasa ini mungkin kali pertama aku menjejakkan kakiku ke sini. Kulihat-lihat, tidaklah seteruk yang dikatakan pelajar yang lain. Okey sahaja aku tengok kedai-kedai yang terdapat di sini. Tiba-tiba dia menarik tanganku dan membawaku ke salah sebuah kedai yang menjual peralatan kuliah. Boleh tahan besar juga kedai ini. Mungkin besar sedikit dari kedai buku BADAN CEMERLANG di Kompleks beli belah Angsana di negeri kelahiranku.


“Ada apa kat sini yang awak jangka boleh buat saya suka gila-gila?” tanyaku apabila kami berhenti di dalam kedai tersebut. Dia hanya tersenyum manis sambil memandang ke arahku. Aku tidak tahu apa makna di sebalik senyuman itu tetapi dah orang senyum pada kita, balas ajelah. Dia bergerak sedikit ke tepi dan membiarkanku melihat apa yang berada di sebalik badannya.


No comments:

Post a Comment