Saturday 27 April 2013

Aku dan Dia (episod 4)


Selepas insiden dia membawaku melihat beg idamanku itu, aku selalu membina alasan untuk ke kompleks beli belah itu. Aku akan duduk di satu-satu sudut dan memerhatikan beg yang aku impi-impikan dari jauh. Terkadang, aku rasa, aku ni menyedihkan juga. Tapi tak mengapa. Beg itu bukannya satu keperluan bagiku kerana aku masih lagi mempunyai beg lain yang boleh aku gunakan untuk menghadiri kuliah-kuliahku. Beg itu cumalah satu kemahuan hatiku.

Jodoh aku dan dia diperpanjang oleh Tuhan. Pada tahun yang seterusnya, aku ditempatkan dalam kumpulan tutorial yang sama dengannya. Tidak lupa juga dengan rakan terbaikku, Murni. Oleh kerana aku mula kenal rapat dengannya sejak tahun yang lepas, jadi aku kira ngamlah juga dengan dia. Jadi, aku duduklah bersebelahan dengannya jika Murni ponteng kelas. Kalau Murni ada, dah semestinya aku duduk dengan Murni. Kata pun, kawan terbaik.

Tetapi kasihan juga dengan dia sebab dia tak bercampur sangat dengan budak lain. Dan pada ketika itulah baru aku perasan. Dialah satu-satunya kumbang yang ada dalam kelas kami. Alahai kesiannya. Ku tengok-tengok, dia ni hensem juga. Ada paras rupa. Pandai pula tu. Cuma, dari segi kewangan mungkin dia tidak sekaya budak-budak lain. Tapi apa yang nak dipandangkan dengan kekayaan. Itu semua bukannya milik kita tetapi milik orang tua kita.

Mungkin kerana bukan dari keluarga yang berada dia tidak berapa didekati oleh perempuan-perempuan lain. Tapi manalah aku tahu. Aku bukannya baby sitter dia. Aku pun tak pernah tengok dia dengan perempuan lain selain dengan aku dan Murni. Cuma, bila peperiksaan nak dekat, adalah juga budak-budak perempuan yang sebelum ini hanya memandangnya sebelah mata mula mencarinya. Katanya ingin meminjam nota.

Yalah, dia ini kan top scorer. Siapa yang tak kejar kalau peperiksaan mula menjengukkan kepalanya. Tapi aku ikhlas berkawan dengannya. Bab pandai tu lain cerita, tetapi aku tertarik dengan sikap rendah diri dan personalitinya yang aku rasa cukup menarik pada pandanganku.

Untuk dipendekkan cerita, dia selalu melepak bersama-samaku dan juga Murni di luar waktu kelas. Dan entah kenapa dan bila masanya rakan-rakan satu tutorialku menjadi terlebih prihatin terhadap aku dan dia. Mereka menempatkan kami bertiga di tempat khas yang berada di hadapan kelas, hadapan papan putih. Di bahagian tengah kelas, semua meja disusun secara bertiga-tiga. Manakala, dia bahagian kiri dan kanan kelas, meja disusun secara berdua-dua.

Jadi, Murni akan duduk di kriku dan dia di kananku. Kononnya, agar aku tidak sedih jika aku tidak dapat duduk bersebelahan dengannya. Aish...diaorang ni, ada-ada ajelah. Macam-macam kerenah.

Sebagai siswa dan siswi, kami dituntut untuk aktif dalam acara yang diadakan oleh pihak kampus. So, aku yang terlebih rajin ni selalu sahaja mengheret dia dan Murni untuk sama-sama menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak kampus. Dan keputusannya tidaklah begitu mengecewakan. Banyak juga pertandingan yang kami menangi. Tetapi, tidaklah semua kerana ada masa kami tidak dapat menyertai beberapa pertandaingan kerana mustahil untuk kami mengabaikan pelajaran demi kokurikulum kami.

Kerana banyak acara yang aku dan dia masuki, jadi banyaklah gambar yang merakamkan detik-detik kami bersama. Tetapi sudah tentunya bukan kami berdua sahaja. Pastinya Murni ada bersama kami.

Aku tidak tahu sama ada ini adalah satu kebetulan atau takdir. Kami bertiga kekal bersama dalam kelas tutorial yang sama hinggalah ke semester kami yang terakhir. Dan khabar buruknya, sampai saat itu, aku masih lagi belum boleh mendapatkan beg yang aku hajati. Walaupun sudah berkurangan bilangan siswa siswi yang menggunakan beg itu, tetapi hatiku masih lagi tetarik dengan beg itu. Sekurang-kurangnya kerana beg itu, sekarang aku dan dia menjadi semakin rapat. Dia menjadi sahabat karibku yang kedua selepas Murni.


Pada semester akhir, setiap kelas tutorial ditugaskan untuk menyediakan satu karya kreatif. Katanya bahannya bebas. Dia tidak pernah memberitahu kami bahawa dia mempunyai idea yang agak bernas. Rakan-rakan yang lain pula malas mengambil bahagian kerana mereka tahu itu hanya sekadar kokurikulum. Tidak dapat menaikkan peratusan peperiksaan mereka.

Pada kelas tutorial yang seterusnya, saya perhatikan yang jam lutsinar yang tergantung di hadapan kelas kami sedikit berbeza dari sebelum ini. Ada beberapa keping kertas dari pelbagai warna ditampal di belakang jam tersebut. Pada pandangan saya, karya itu belum lagi siap. Saya dapat bayangkan kalau corak itu siap sepenuhnya.

Tetapi, rakan-rakan yang lain pula merungut dan mengatakan corak itu amat hodoh. Kata mereka lagi, tidak sesuai langsung dengan diri mereka yang sudah bergelar MAHAsiswa. Kami langsung tidak tahu siapa punya kerja tetapi aku dapat mengesan perubahan wajahnya ketika mereka mengutuk hasil kerja itu. Aku mengambil tempat bersebelahannya. Kuperhatikan lagi jam itu.

“Apalah diaorang ni, corak tu kan belum siap sepenuhnya, betul tak?” sapaku. Tiada jawapan yang aku dapat darinya. Nampaknya dia agak kecewa.

“Saya dapat bayangkan bila jam itu dah siap diubah suai. Mesti cantik bukan? Kertas warna- warni tu terdiri dari warna-warna yang ceria. Dan warna memainkan peranan dalam otak manusia. Kita mungkin boleh menjadi lebih optimis atau pun lebih bertenaga apabila melihat warna-warna yang terang. Apa pendapat awak?” soalku lagi.

Kini, dia sudah menoleh ke arahku dan tersenyum. Ha, itulah yang aku nak tengok. Senyumlah lagi. Kan manis dipandang.

“Ha, pandai pun nak senyum. Ini tak. Pagi-pagi lagi dah panjang muncung tu. Kenapa? Ada masalah ke?” tanyaku. Dia hanya menggeleng dan tersenyum lagi. Dia mula meyelak halaman latihan yang diberi pada minggu lepas.

“Ha, saya tahu kenapa awak muram,” pancingku dan ternyata dia tertarik. Dia hanya memberi isyarat dengan menaikkan sebeleh keningnya.

“Awak datang bulan eh?” bisikku ke telinganya.

“HAA??!” Aku tertawa melihat riak wajahnya yang terkejut itu.

Kidding, kidding. I’m just kidding, okay,” balasku lalu tawaku kusambung. Apabila Murni tiba, aku menceritakan kepada Murni yang di dia ni datang bulan pagi-pagi. Apalagi, mulalah bebelan panjangnya. Kelas kembali riuh seperti selalunya.

Ketika waktu rehat, dia tidak turut serta makan tengah hari bersamaku dan Murni. Katanya ada kerja yang perlu disiapkan dengan segera. Jadi, dia pergi ke bilik tutorial terlebih dahulu. Sebenarnya, aku bimbang juga. Aku menghabiskan makananku awal sedikit dan membawakan sedikit makanan untuknya.

Sewaktu aku sampai di kelas, aku lihat dia sudah tertidur berbantalkan timbunan kertas warna-warni yang belum sempat dipotong. Nak kejutkan, kesianlah pula. Apa yang aku boleh buat untuk bantu dia? Aku tolong dia menyiapkan kertas warna-warni yang perlu dipotong. Masa begitu cepat berlalu sehingga aku tidak perasan bahawa kelas akan bermula sebentar sahaja lagi. Sebelum pelajar lain masuk ke kelas, aku menyembunyikan kertas-kertas itu ke dalam laci mejanya.

Tetapi aku pelik benar dengan dia. Nyenyak sangat dia tidur sampai tutor masuk kelas pun dia tak bangun-bangun. Cuak tak cuak aku masa tu. Aku cuba mengejutkannya beberapa kali, tetapi dia tetap seperti itu. Aku menjadi benar-benar risau. Murni juga berasa pelik dengan dia. Tidak pernah dia tidur dalam kelas seperti itu. Tutorku berbaik hati untuk mengejutkannya tetapi dia tidak bangun. Kecoh kelas jadinya.

Aku periksa pernapasannya. Alhamdulillah, masih lagi bernafas. Tetapi kenapa dia tidak bangun-bangun. Pengsankah? Tutorku menyarankan agar dia dibawa ke bilik kesihatan. Tetapi tutorku tidak begitu kuat untuk mengangkatnya seorang diri. Dalam sesaat, semua pelajar sepakat, aku yang peru membantu tutorku membawanya ke bilik kesihatan.

Kerana terlalu bimbang dan tidak memikirkan perkara lain, aku pun terus sahaja bersetuju dengan cadangan itu. Kuampuh lengan kirinya tetapi badan dia tidak mahu berjalan. Tutorku mengatakan bahawa caraku mengampuhnya salah. Tangan kananku di bawa ke pinggang si dia, agar mudah untuk mendirikannya. Apalagi, riuhlah kelasku dengan siulan di sana sini. Mukaku pun mula terasa bahang. Rasanya semua darahku sudah naik ke muka. Tebalkan sahajalah muka ni. Yang penting dia harus sedar terlebih dahulu.

Aku tidak berharap dia sedar sewaktu kami menghantarnya ke bilik kesihatan. Aku tidak berharap dia sedar ketika tanganku melingkari pinggangnya. Aku tidak berharap dia sedar semasa mukaku kemerahan menanggung malu kerana terpaksa memeluknya seperti ini dan menjadi bahan bualan rakan yang lain. Aku tidak mengharapkan itu.

Staff yang bertugas memberitahuku bahawa dia tidak cukup tidur sehingga tekanan darahnya menjadi begitu rendah. Jadi, lebih baik sekiranya dia dibenarkan untuk tidur buat beberapa jam. Pelik. Rasanya, untuk memotong kertas-kertas itu bukanlah mengambil masanya yang lama sehingga dia terpaksa mengorbankan masa tidurnya. Mungkin, kerana dia belajar hingga lewat malam. Mungkin.

Aku menjaganya sampai tidak sedar yang hari sudah pun malam. Aku menemani tutorku tadi untuk menghantarnya pulang ke rumah sewanya yang disewa dengan seorang lagi kawannya yang mengambil jurusan lain. Tubuhnya masih lagi lemah. Sesampainya di hadapan pintu rumahnya, aku cuba memberi salam terapi tiada jawapan. Baru aku teringat yang dia pernah beritahuku pada minggu lepas yang bahawa dalam masa seminggu ini dia tinggal seorang diri di rumah kerana rakan sewanya pulang ke kampung atas urusan keluarga.

Kondisinya sekarang belum stabil. Dia memerlukan orang lain untuk menjaganya. Sekurang-kurangnya untuk malam ini. Setelah berfikir banyak kali, kami meninggalkan rumahnya dan menuju ke rumahku. Dalam perjalanan itu, aku menelefon emak dan memberitahu keadaanku yang terpaksa membawanya pulang ke rumahku. 

No comments:

Post a Comment